Dimaklumkan, ibu bapa Rashid berasal dari
Sumatera
,
Indonesia
.
Kerana kemiskinan beliau terpaksa berhenti sekolah selepas tamat darjah
lima
Sekolah Melayu.
Bagaimanapun, beliau sempat mengaji al-Quran hingga khatam, dan belajar bahasa
Inggeris pula dengan seorang mubaligh Kristian.
Sejak berusia 12 tahun, beliau membanting tulang sebagai pembantu kedai, buruh
ladang teh, kuli sukat tanah dan buruh lombong dengan upah yang menyedihkan,
kadang-kadang 30 sen sehari, adakalanya 50 sen sehari dan pernah juga langsung
tidak diberi gaji!
Berkat tekun belajar sambil bekerja, beliau berjaya memperolehi kelulusan
“electrical chargeman” kelas 1 pada tahun 1938 dan ditugaskan menjaga enjin
kapal korek bijih timah di Kinta Consolidated Company Limited dengan gaji 60
ringgit sebulan - gaji yang dianggap amat lumayan pada masa itu!
Pada masa yang sama, bibit-bibit nasionalisme dan patriotisme mula berputik
dalam dirinya selepas bertemu dengan “guru politiknya” - Lai Raifel atau nama
sebenar Toh Lung San (1922-1943), seorang kader penting Parti Komunis Malaya
(PKM) yang ditugaskan untuk menyusun kaum buruh bijih timah kapal korek di
kawasan Tanjung Tualang, Perak pada tahun 1943.
Menurut allahyarham, beliau “menjadi orang Melayu pertama dalam PKM” di bawah
pengaruh Toh Lung San dan pernah memimpin kesatuan sekerja Kinta Mining
Workers’ Association atau nama pendaftarannya Kesatuan Saling Membantu Buruh
Bijih Timah Daerah Perak yang jumlah anggotanya melebihi 20,000 orang.
Rashid mengaku tidak pernah terlibat dalam gerakan politik anti-penjajahan
British yang dianjurkan oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipelopori oleh
Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam sebelum meletusnya
Perang Dunia Ke-2 dan sebelum Jepun mencerobohi Malaya dalam tahun 1941.
Isytihar merdeka
Ini adalah kerana KMM
banyak bergerak di bandar-bandar, manakala Rashid pula aktivis buruh setempat
di sekitar Batu Gajah.
Rashid amat kecewa selepas Jepun menyerah diri kepada pihak Bersekutu, saranan
Ibrahim Yaacob, ketua KMM sebelum Perang dan ketua KRIS (Kesatuan Rakyat
Indonesia Semenanjung) ketika pendudukan Jepun, supaya KRIS dan PKM sama-sama
mengisytiharkan kemerdekaan sebagaimana yang dilakukan oleh Soekarno di
Indonesia, dan bersatu menentang kemasukan semula penjajahan British, telah
ditolak oleh Lai Tek, Setiausaha Agung dan ejen dalam selimut PKM.
Masa itu, Ibrahim Yaacob
ada senjata peninggalan askar Jepun, sedangkan PKM pula ada senjata yang
dibekalkan oleh British. Ibrahim Yaacob terpaksa lari ke
Indonesia
untuk
mengelak buruan British selepas saranannya ditolak oleh Lai Tek. Lai Tek yang
telah didedahkan sebagai egen British oleh musuhnya, Chin Peng (foto) pada
tahun 1947, dan menemui ajalnya di
Bangkok
.
Selepas Jepun menyerah diri, Rashid berpeluang bertemu dengan Abdullah CD buat
kali pertama dalam Pasukan Propaganda Perak yang dipimpin oleh Eng Ming Ching,
isteri Toh Lung San.
Pasukan Propaganda Perak yang terdiri daripada 50-60 orang tersebut menjelajahi
seluruh Perak untuk mengadakan perayaan dan rapat umum menyambut kemenangan
perang anti-Jepun dan majlis mereka sering dibanjiri ribuan orang dari pelbagai
golongan dan lapisan masyarakat.
Selepas selesai tugas Pasukan Propaganda Perak, Rashid dan Abdullah CD pun
menumpukan perhatian kepada gerakan rakyat Melayu, khususnya menyokong
perjuangan Persataun Kumpulan Melayu Muda (PKMM) yang ditubuhkan oleh
Mokhtaruddin Lasso, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain pada tahun 1945.
Mereka menerbitkan akhbar Suara Rakyat sebagai lidah rasmi PKMM di
Perak.
Tetapi setelah Mokhtaruddin Lasso menghilangkan diri, operasi akhbar itu
dipindah ke
Kuala Lumpur
.
Demikian jugalah halnya dengan penerbitan Suara Rakyat.
Setelah Mokhtaruddin Lasso menghilangkan diri, Abdullah CD terlibat secara
langsung berurusan dengan PKMM, kemudian dipilih ke dalam badan pimpinan PKMM.
Sungguhpun Rashid tidak menjadi anggota PKMM secara rasmi, beliau turut diajak
untuk membincang pelbagai masalah.
Oleh itu, mereka amat rapat dengan pucuk pimpinan PKMM seperti Dr Burhanuddin
Al-helmy, Ishak Haji Muhammad dan lain-lain dan membantu koordinasi antara PKM
dengan PKMM, khasnya dalam bentuk propaganda untuk menyatukan orang Melayu di
bawah satu wadah yang progresif.
Pada masa itu, PKM dan PKMM boleh dikatakan telah menggembeleng tenaga dalam
perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah British. Namun, menurut
Rashid, Umno bukan saja tidak mahu kemerdekaan, malah menentang gerakan PKM dan
PKMM.
Perjuangan menuntut kemerdekaan mereka diejek dengan perbandingan sendaan “buat
sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon!”